Sesi Perbincangan secara dua hala antara Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Majlis Ketua Audit Dalam (MKAD) telah diadakan pada 22 Julai 2026 bertempat di Unit Audit Dalam, KPT.
Sesi tersebut dimulakan dengan pembentangan Statistik Bilangan Isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Persekutuan, yang memberi tumpuan kepada isu-isu audit melibatkan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi khususnya Universiti Awam Malaysia. Pembentangan ini bertujuan memberikan gambaran menyeluruh mengenai status penemuan audit serta menyokong usaha penambahbaikan tadbir urus dan pengukuhan kawalan dalaman di agensi-agensi KPT.
Seterusnya, sesi diteruskan dengan perbincangan berhubung potensi hubungan kerjasama antara Audit Dalam KPT dan Audit Dalam Universiti Awam. Perbincangan tersebut memfokuskan kepada usaha memperkukuh jaringan kerjasama, perkongsian amalan terbaik, pembangunan kompetensi serta penyelarasan pelaksanaan fungsi audit dalam bagi meningkatkan keberkesanan tadbir urus sektor pendidikan tinggi.
Sebagai penutup, berlangsung majlis penyerahan Buku Pelan Strategik Majlis Ketua Audit Dalam (MKAD) 2026–2030 kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai simbolik komitmen MKAD dalam memperkukuh hala tuju strategik serta memperkasakan fungsi audit dalam di bawah KPT.